Basmalah Sebahagian Daripada Al-Fatihah?

“Eh kau pergi amik Quran, abang nak bincang sikit pasal hukum”

“Part mana?” Saya bertanya.

“Surah al-Fatihah”

Saya lantas bangun mencapai al-Quran yang terletak di atas almari. Pandangan saya mula tertumpu kepada surah pertama al-Quran. Mata meliar melihat baris-baris ayat sehinggalah kepada ayat yang terakhir. Abang saya memulakan bacaannya. Perbincangan ini memakan masa hampir sejam. Ia hanya tertumpu kepada soal kepada hukum tajwid antaranya sebutan makhraj, harkat dan lain-lain lagi.

Namun di sebalik surah al-Fatihah ini sebenarnya  timbulnya khilaf (perselisihan) pendapat di antara Ijma’ Ulama dalam aspek basmalah dan riwayat cara bacaan.

KAEDAH PEMBACAAN DI MALAYSIA

Sebelum kita meneruskan perbincangan, secara asasnya pembacaan al-Quran di Malaysia adalah berpandukan Rasm Uthmani. Rasm Uthmani adalah al-Quran yang mana ia ditulis ketika pemerintahan Saidina Uthman bin Affan r.a. Bagi kaedah bacaan pula ,kita mengikut riwayat Hafs dan beliau telah menerima bacaan tersebut daripada Imam ‘Asim. Imam ‘Asim merupakan salah seorang imam qiraat  yang tujuh daripada sepuluh.

Imam ‘Asim al-Kufi

Nama sebenar beliau ialah ‘Asim bin Abi Najud (‘Abd Allah) Al- Asadi dari suku kaum Bani Asad . Telah Meninggal pada tahun 127 hijrah. Beliau telah mengambil bacaan daripada Abi ‘Abd al-Rahman ‘Abd Allah bin Habib bin Rabi‘ah, Abi Maryam Zur bin Habish bin Habashah, dan Abi ‘Amru Sa‘ad bin Ilyas.

Antara anak murid beliau yang masyhur:

I.             Syu‘bah

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakar Syu‘bah bin ‘Iyash bin Salim al-Hannat al-Asadi al-Nahsyali al-Kufi. dan dilahirkan pada tahun 95 hijrah dan meninggal pada tahun 193 hijrah .

II.            Hafs

Nama sebenar beliau ialah Abu ‘Umar Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi al-Bazzaz. Anak tiri ‘Asim . Beliau dilahirkan pada tahun 90 hijrah dan meninggal pada tahun 156 hijrah.

ADAKAH BASMALAH ITU DIKIRA SEBAHAGIAN DALAM SURAH AL-FATIHAH (7 AYAT) ?

Ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan bilangan ayat dalam surah Al-Fatihah sama ada basmalah dikira ataupun tidak. Di sini terdapat dua situasi yang berbeza.

SITUASI PERTAMA : Perselisihan dalam menentukan hukum membaca basmalah dalam solat.

a) Imam Abu Hanifah dan Ahmad bersepakat menyatakan bahawa membacanya adalah sunat kerana beranggapan basmalah bukanlah satu ayat dari surah al-Fatihah.

b) Imam Syafie pula, mewajibkan bacaan basmalah pada surah al-Fatihah ketika solat.

SITUASI KEDUA : Perselisihan dalam menentukan sama ada basmalah itu sebahagian dari surah al-Fatihah.

Saya memetik dalil daripada kitab Syarah al-Faraid al-Hasan fi Ad Ai al-Quran bab Surah al-Fatihah.

Di dalam dalil ini bahawa para Qurra’ Makkah dan Kufah berpendapat bahawa basmalah itu dikira sebahagian dalam surah al-Fatihah, manakala para Qurra Madinah , Basrah dan Syam mengatakan basmalah tidak dikira.

Pendapat para Qurra Madinah , Basrah dan Syam berdasarkan hadith Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak mengetahui akan pemutus antara surah-surah sehinggalah diturunkan Bismillahir Rahmanir Rahim.

[HR Abu Daud : 788 , Al-Hakim : 1/231.]

Firman Allah SWT :

Ayat ini dipetik daripada Surah al-Naml pada ayat 30 Juzuk 19. Ia memperlihatkan penurunan ayat Bismillahir Rahmanir Rahim. Terdapat juga dalil yang memperlihatkan bahawa basmalah bukanlah sebahagian daripada surah al-Fatihah sebagaimana hadith yang disampaikan Anas bin Malik ra. :

“Rasulullah SAW dan Abu Bakar serta Umar memulai solat dengan (Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin)

[H.Muttafaqun ‘Alaih , Bukhari :743 dan Muslim : 399]

KESIMPULAN

Walaubagaimanapun terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan Ulama Qiraat, kita masih lagi berpegang kepada Imam Syafie bahawa mewajibkan bacaan basmalah ketika solat. Mungkin ada di antara kita sedikit keliru dengan situasi yang kedua.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, bacaan di Malaysia adalah berpandukan kepada riwayat Hafs yang diambil bacaan daripada Imam ‘Asim. Saya juga ada menyebut para Qurra dari Kufah mengatakan basmalah itu sebahagian daripada al-Fatihah kerana Kufah itu merujuk kepada nama tempat asal kedudukan Imam antaranya Imam ‘Asim .

Allahu’alam.

3 thoughts on “Basmalah Sebahagian Daripada Al-Fatihah?”

  1. assalamualaikum…

    Nak bertanya sikit… saya tak faham bab akhir tu…

    “para Qurra dari Kufah mengatakan basmalah itu sebahagian daripada al-Fatihah kerana Kufah itu merujuk kepada nama tempat asal kedudukan Imam antaranya Imam ‘Asim ”

    – tak faham maksudnya…
    – Adakah Kufah yg dimaksudkan itu qurra’?
    – “merujuk kepada nama tempat asal kedudukan Imam antaranya Imam ‘Asim”
    apa kaitannya? dgn al-Fatihah?

    Reply
    • wsalam….

      Adakah Kufah yg dimaksudkan itu qurra’?

      Tidak, kufah merujuk kepada nama tempat. Tetapi ia diwakili dengan para qurra’ 😉

      Begini saya ringkaskan..

      Imam Qiraat terlalu banyak dan saya akan senaraikan yang masyhur sahaja iaitu sebanyak 7 imam.

      1) Imam Nafi’
      – Qalun
      – Warsy

      2) Ibnu Kathir
      – Qambul
      – Al-Bazzi

      3) Imam Abu Amr
      – Ad-Duri
      – Susi

      4) Imam Ibnu Amir
      – Hisyam
      – Dzakwan

      5) Imam Asim
      – Syukbah
      – Hafs

      6) Imam Hamzah
      – Kholaf
      – kholad

      7) Imam Ali Kisa’i
      – Abdul Haris
      – Duri

      Ok, yang ni pulak senarai Imam Qiraat yang telah dikategorikan mengikut tempat mereka.

      1) Makkah – Imam Ibnu Kathir

      2) Kufah – Imam Asim, Imam Hamzah, Imam Ali Kisa’i

      3) Madinah – Imam Nafi’

      4) Basrah – Imam Abu Amr

      5) Syam – Imam Ibnu Amir

      Dalam pengajian Qiraat, ulama telah memudahkan untuk mengklasifikasikan Imam mengikut tempat asal..

      Soalan :

      – “merujuk kepada nama tempat asal kedudukan Imam antaranya Imam ‘Asim”
      apa kaitannya? dgn al-Fatihah?

      Seperti yang saya jelaskan di atas :

      Rujuk dalil yang pertama tadi :

      Di dalam dalil ini bahawa para Qurra’ Makkah dan Kufah berpendapat bahawa basmalah itu dikira sebahagian dalam surah al-Fatihah, manakala para Qurra Madinah , Basrah dan Syam mengatakan basmalah tidak dikira.

      1) Imam Qiraat yang berpendapat bahawa basmalah dikira sebahagian dalam surah al-Fatihah:

      Maka saya hanya sebut Makkah dan Kufah.
      Dalam erti kata lain, imam tersebut adalah Imam Ibnu Kathir, Imam Asim, Imam Hamzah, Imam Ali Kisa’i.

      2) mengatakan basmalah tidak dikira.
      maka saya hanya sebut madinah, basrah, syam
      Dalam erti kata lain, imam tersebut adalah Imam nafi’, Imam Abu Amr, dan Imam Ibn Amir.

      Semoga membantu…

      p/s : berdasarkan dari kitab Syarah al-Faraid al-Hasan fi Ad Ai al-Quran bab Surah al-Fatihah

      Reply
  2. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

    ANA rasa Basmalah mmg satu ayat dari al-fatihah. Berdasarkan 1 hadis mauquf yang disahihkan oleh salah seorang IMAM BERMAZHAB ASY-SYAFIE Ibnu Hajar Al-Asqalani bahawa Rasulullah Bersabda:

    “Apabila Kamu membaca al-fatihah, Maka Bacalah oleh kamu akan basmalah
    maka sesungguhnya ianya Merupakan SATU drpd AYATNYA”.
    (HR AD-Daruquthni)
    Dari sini memang jelas kita dapat ketahui ianya mmg satu ayat drpd al-fatihah tetapi terdapat perbezaan pendapat di kalangan Ulama’ sama ada ianya dibaca atau tidak di dalam solat berdasarkan beberapa hadis. Pendapat yang mengatakan membacanya secara PERLAHAN adalah Sahih, Begitu juga dgn Pendapat yg mengatakan membacanya secara KUAT adalah Sahih.

    Hadis yang mengatakan nabi membaca secara perlahan adalah seperti berikut:

    Dari Anas -Radiyallahu anhu-: “sesungguhnya aku telah solat di belakang Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakr, dan Omar adalah mereka memulakan Solat dengan “Alhamdulillahi Rabbil-‘Alamiin”.(Bukhari & Muslim)

    Dalam Riwayat Muslim Di Tambah:”Mereka tidak Menyebut Basmalah pd Awal Bacaan dan tidak di Akhirnya”.

    Dalam riwayat Ahmad, Nasai’e dan Ibn Khuzaimah:
    “Mereka tidak membaca Basmalah Dgn KUAT”.

    Dalam Riwayat Lain bagi Ibn Khuzaimah:
    “Adalah mereka membaca (basmalah) perlahan”.

    Jadi jelas di sini bahawa nabi Sallallhu ‘alaihi wasallam membacanya dengan perlahan begitu juga dengan beberapa orang Sahabat, Tabi’in, Tabi’ Tabi’in berserta dgn beberapa Ulama’ Salaf dan Khalaf.

    Dalil Bagi pendapat yang mengatakan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam membacanya dengan KUAT ialah:

    Dari Nuaim Al-Mujmir telah Berkata:
    “Akutelah solat di belakang Abu Hurairah -Radiyallahu anhu-, maka ia membaca Basmalah, kemudian membaca Ummul-Quran,sehingga apabila smpi Waladh-Dhaaaaliin………….kemudian setelah memberi salam ia berkata:

    “Demi yang jiwaku di dalam genggaman-NYA, sesungguhnya aku adalah orang yang paling hampir dengan sifat solat Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam”.
    (HR An-Nasai’e & Ibn Khuzaimah)

    Pada hadis ini juga jelas mengatakan bahawa Rasulullah juga membaca basmalah secara KUAT berdasarkan pengakuan daripada Abu Hurairah Sendiri.

    Disebabkan terdapat perbezaan pendapat yang tidak dapat dielakkan ini maka Ibnu Hajar Al-Asqalani (Imam Bermazhab Asy-Syafi’e) Berkata:

    “Sesungguhnya membaca basmalah dengan perlahan bukanlah bermaksud meninggalkannya sebagai secara mutlak. Ianya dibaca melalui lisan, akan tetapi jika membacanya secara perlahan tidaklah merupakan kesalahan. Kita membacanya, cuma caranya yang berbeza sama ada perlahan ataupun kuat…………..”

    Dalam hal Furu’ ini tidak perlulah bergaduh sehingga melemahkan lagi perpaduan umat Islam. Kita sepatutnya bersikap terbuka dengan perbezaan pendapat yang tidak dapat dielakkan. Itu sahaja Ilmu yg sedikit yang dapat dikongsi oleh Hamba yang Jahil dan Lemah ini. Wallahu a’lam. Wassalamu ‘alaikum.

    Reply

Leave a Comment

CommentLuv badge