Biarkan Hati Rasa Bersalah Pada Al-Quran

Kekal diingatan semasa diploma, sepucuk surat dihantar kepada ayah. Jelas terpampang di kepala surat “Jabatan Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat”

Saya mula gelisah.

“Apa kes surat sampai ke rumah?”

“Dik, surat laporan prestasi hafazan kau ini. Cuba baca ulasan dekat bawah surat ini.” Surat itu disambut. Mata saya tertumpu kepada satu teks pendek.

“ Pelajar ini menghafaz al-quran dengan sangat baik, tetapi pelajar ini malas. Tingkatkan usaha lagi”

Komen ringkas daripada pensyarah, tapi berjela daripada ayah.

Surat ini juga mengingatkan saya kepada suatu peristiwa yang sama sewaktu menuntut di sekolah menengah dahulu.

Jika tiba cuti penggal sekolah, kami mula berseronok-seronok dengan rakan-rakan. Dalam keadaan berseronok itu, kertas jadual mengulang al-quran seperti dibuat-buat lupa. Apabila habis cuti penggal , mulalah saya menggelabah tidak tentu pasal.

Mengulang quran sampai ke malam berlanjutan ke subuh, semata-mata hendak memastikan bacaan hafazan kekal lancar.

Tetapi usaha itu gagal.

Ulangan bagi juzuk 8, saya sangkut. Saya berpatah balik ke tempat asal. Datang balik semula kepada ustaz. “Selagi tak lancar, selagi itu tidak boleh berpindah ke juzuk 9” Kata ustaz.

Proses itu berlanjutan sehinggalah bacaan kekal lancar.

Dekatkan Hati Dengan Al-Quran

Bukan mudah sebenarnya untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

Ya, al-Quran mudah disentuh, dipegang apatah lagi mahu menyebut kalimah yang terkandung di dalamnya. Jika kita duduk, buka mushaf al-Quran, kemudian baca. Agak-agaknya berapa lama kita mampu bertahan.  5 minit, 10 minit, atau lebih daripada itu?

Jika bulan ramadhan kita sibuk menghitung hari untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran 30 juzuk, kenapa tidak pada bulan-bulan yang lain. Pembacaan Al-Quran tidak memerlukan musim, ia boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja. Soal rajin atau tidak, ia bergantung kepada diri kita sendiri.

“Paksa diri, paksa diri untuk rajin. Jangan malas!” Kata Ustazah saya.

Tambahan pula, pada zaman sekarang smartphone sudah menyediakan aplikasi al-quran digital. Jadi untuk mencipta alasan tiada masa, agak kurang boleh diterima sebenarnya.

Membentuk Generasi Al-Quran

Rumah saya pernah dikunjungi oleh seorang wanita berusia lebih kurang 40-an. Saya memang langsung tidak mengenali beliau, apatah lagi melihatnya sebelum ini. Datang seperti berhajat.

“Anak sekarang belajar kat mana? Boleh beri cadangan tak, mak cik nak hantar anak ke sekolah tahfiz”

“Saya dah habis sekolah dah mak cik, tapi kalau mak cik betul-betul sekolah yang baik, banyak maahad tahfiz di Kelantan”

Saya sendiri pun tidak pasti, kenapa Kelantan menjadi pilihan utama saya dalam memberi pandangan. Mungkin setelah melihat hasil pengeluarannnya. Sehinggalah saya meletakkan nombor dua di tempat saya belajar. Pemilihan sekolah beraliran tahfiz mempunyai penilaian tersendiri.

Namun bukan aliran tahfiz yang saya hendak highlight kan di sini. Tetapi soal kesungguhan wanita tersebut dalam memberikan pendidikan agama kepada anaknya. Sebagai permulaan dalam mendidik anak, saya kira tidak salah jika saya katakan pendidikan agama perlu diterapkan sejak dari sekolah lagi. Ia juga satu usaha untuk mendekatkan anaknya dengan al-Quran.

Pada hari ini juga, saya amat kagum kepada ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anak untuk tujuan belajar al-Quran. Biarlah kita berhabis ratusan setiap bulan, semoga akhirat nanti, ia boleh dijadikan sebagai bekalan.

Biarkan Hati Rasa Bersalah Pada Al-Quran

Sukar untuk digambarkan betapa kasihannya melihat generasi anak-anak pada hari ini. Di antara mereka masih ada lagi yang tidak boleh membaca al-Quran. Terkilan rasanya, terutama kepada segelintir ibu bapa yang meletakkan al-Quran itu bukan pada ‘tempat’ yang sepatutnya.

Jadi, kitalah yang perlu mulakan dari sekarang. Membentuk generasi yang ada rasa bersalah pada al-Quran.

Insha Allah, jika kita sentiasa istiqamah membaca al-Quran setiap hari, sekali kita tinggal, hati kita pasti akan timbul rasa bersalah pada al-Quran. Jadikanlah al-Quran itu sebahagian dalam kehidupan kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan Mengajarkannya”.
[Riwayat Imam Al-Bukhari]

Ikhtiaruddin Md Yasim

Leave a Comment

CommentLuv badge