Hari Kemenangan

Tinggal seminggu sahaja lagi Syawal bakal menutup tirainya. Kini masyarakat semakin galak mengadakan majlis rumah terbuka bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim . Tidak cukup dengan itu, undangan majlis perkahwinan yang mula kian datang berjemput. Tambahan pula, ada yang kini mulai gusar dengan belanjawan yang mengalami defisit gara-gara terlalu ‘gah’ dengan persiapan rayanya.

DI PAGI SYAWAL

Jam menujukkan 2 pagi, saya masih lagi terkial-kial menggosok jubah untuk dipakai semasa solat sunat nanti. Mata sudah mengantuk ditambah leteran ibu dari dapur. ‘Last minute’ mesti kena. Selesai sahaja solat subuh, saya pula membantu menyiapkan juadah ketupat rendang untuk diberikan kepada rumah-rumah terdekat . Amalan ini telah dilakukan sejak saya kecil lagi.

Disunnahkan menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.”

– Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Ada satu peristiwa yang sering mengingatkan saya apabila tibanya pagi syawal. Ketika itu saya masih kecil. Saya menangis teresak-esak apabila tidak berpuas hati  dengan baju raya yang bukan berwarna biru. Biru dan Hijau sukar untuk dipisahkan! Cerewet, Oh!

ZIARAH

Bermulanya hari raya kelima saya mula mengikuti aktiviti konvoi raya bersama rakan-rakan. Bermusafir satu rumah ke satu rumah, dari satu daerah ke sebuah daerah sehinggalah ke luar negeri. Terima kasih kerana memberikan ruang tidur untuk bermalam. Saya cukup terharu apabila diberi layanan yang cukup baik dan alhamdulillah semuanya tetap berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”

– Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

Akhir kalam, belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada anda semua. Terima kasih.

Leave a Comment

CommentLuv badge