Hikmah Ramadan 1441 Hijri

Bulan Januari lalu, pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ada menghubungi saya bertanyakan persetujuan untuk bertugas sebagai imam tarawih bagi tahun ini. Saya pula terfikir mahu menolak atas sebab lain. Maka, saya diminta untuk memberikan maklum balas selewat-lewatnya akhir bulan tersebut.

Isteri saya pula buat permintaan. Teringin nak pergi solat tarawih berjemaah di masjid bersama. Sebelum ini pernah bawa isteri dan anak-anak sekali, tetapi biasalah si adik agak sukar untuk dikawal. Si abang pula saya takut nak biarkan bersendirian dalam saf jemaah lelaki.

Hasil perbincangan bersama, saya terima juga tawaran kali ini atas beberapa faktor.

Namun begitu, kita hanya merancang, namun Allah SWT sahaja yang menentukannya. Satu dunia terlibat dengan musibah penularan virus Covid-19 termasuklah negara kita. Saya menjangkakan akan tiada sebarang penganjuran aktiviti Ihya Ramadan di masjid seperti tahun sebelum-sebelum ini selepas kerajaan menangguhkan segala aktiviti surau dan masjid sepanjang fasa PKP.

Akhirnya ia menjadi kenyataan apabila beberapa hari lepas saya menerima mesej daripada pihak JAIM tentang penangguhan Imam Terawih bagi tahun ini. Kemeriahan solat tarawih di rumah pastinya tidak sama seperti di masjid. Namun, kita perlu akur.

Namun dari sudut positifnya tetap ada. Hikmahnya, kita berpeluang bersama-sama menunaikan solat tarawih bersama dengan keluarga. Jika sebelum ini, lelaki hadir sebagai makmum di masjid. Kita para lelaki pula menjadi imam di rumah masing-masing.

Kenangan bertugas malam akhir di Masjid Ubudiah Ayer Keroh pada tahun 2019.

Suka untuk saya berkongsi antara tip-tip yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk solat tarawih bersama keluarga.

  • Menetapkan ruang solat yang selesa seperti meletakkan alas seperti tikar atau karpet dan sejadah. Jika ahli keluarga ramai, perlukan gunakan ruang yang luas seperti di ruang tamu.
  • Sekiranya ada bajet lebih, boleh dapatkan sejadah yang berkain tebal. Harganya lebih kurang minima dalam RM30 sehelai.
  • Sekiranya imam tidak menghafaz surah-surah pendek, boleh sahaja menggunakan al-Quran bersaiz besar di hadapan imam. Tidak mustahil ayat yang dibaca secara berulang kali akan melekat dalam ingatan.
  • Boleh sediakan bacaan satu hari satu hadis beserta huraian. Jika di Melaka, Imam tarawih perlu menyampaikan tazkirah ringkas 5 minit sebagai selingan selepas menunaikan 4 rakaat solat tarawih. Selingan ini bertujuan sebagai ‘take five’ kepada jemaah.
  • Jika mahukan suara yang ada system echo seperti surau ataupun masjid, gunakan mikrofon. Tidak perlu sistem suara bagai, boleh sahaja gunakan mikrofon biasa yang ada terdapat di Shopee dalam kos sekitar RM15-20 sahaja.
  • Boleh sediakan moreh ringkas untuk dijamah bersama keluarga. Minum malam pun sudah memadai.

Solat tarawih secara minima keseluruhannya 11 rakaat. Kita akan berasa cepat penat, bosan dan letih serta tidak bersemangat untuk menunaikan solat tarawih. Lainlah jika kita di masjid, ada pendingin hawa, karpet pun tebal. Jadi ia menyumbang kepada keselesaan kita dalam beribadah.

Bagaimanapun bergantung kepada persediaan kita. Dalam menghadapi fasa PKP yang tidak tahu bila akan berakhir, sama-salah kita berdoa. Jadikan bulan ramadan tahun ini sesuatu yang istimewa sehingga boleh dicoretkan dalam memori manis bersama keluarga.

Sebelum mengakhiri penulisan ini, suka saya berkongsi satu cerita tentang arwah mak saya.

Pada tahun 2017, pihak JAIM telah meletakkan nama saya bertugas di masjid yang tidak jauh dari rumah arwah mak sekitar 5 kilometer sahaja. Tetapi agak jauh pula dari rumah saya. Kebetulan semasa mesyuarat bersama JAIM, ada seorang hamba Allah ini mengangkat tangan sudi menawarkan masjid yang lebih dekat dengan rumah saya.

Selepas bermesyuarat, baru terfikir ada kesukaran untuk saya berbuka puasa bersama arwah mak kerana dek ruang waktu antara maghrib dan isya’ tidak panjang. Saya silap. Arwah mak pula sering bertanya bila masa sesuai untuk saya berbuka bersamanya.

Seingat saya, tahun 2017 hanya sekali sahaja kami sempat berbuka puasa bersama. Itupun berbuka ringan. Makan pula lebih kurang 10 minit dan saya segera bersiap-siap ke masjid. Dari situ timbulnya rasa terkilan. Biarpun sepanjang ramadan saya kerap singgah ke rumah, ia masih tidak boleh menyamai perasaan ketika berbuka puasa bersama arwah mak. Tetapi arwah mak faham dengan tugas saya. Ini kerana pada ketika itu, saya berulang alik Rembau – Melaka setiap hari atas faktor bekerja di sana. Namun, perasaan terkilan itu tetap ada.

Mudah-mudahan dengan berkat ramadan pada tahun ini, kasing sayang antara keluarga sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Salam Ramadan Karim.

10 thoughts on “Hikmah Ramadan 1441 Hijri”

  1. As salam ustaz. Sy pun malam pertama tu nervous gak takut terlupa surah. ada la tersasul tu. mlm kedua dah semakin lancar. Alhamdulillah. Ada hikmah di sebalik bersolat tarawih di rumah semasa PKP ni….

    Reply
    • Wsalam. aa takpa, nervous tu memang normal sampai surah yang kita selalu ulang pun boleh lupa.

      Alhamdulillah, selamat bertawarih dan menjalani ibadah puasa.

      Reply

Leave a Comment

CommentLuv badge