Ibarat Air Yang Dicurahkan Ke Daun Keladi?

Seperti kebiasaan program berbentuk tazkirah menjadi rutin mingguan bagi kami. Tidak cukup itu, kami turut disuap dengan penyampaian matan hadith hampir setiap hari selepas waktu Asar dan Isya’. Rutin wajib sebegini adakalanya menjadikan ia sebagai satu aktiviti yang agak membosankan bagi segelintir pelajar. Tidak hairanlah jika majlis ini, terdapat sebahagian pelajar tiba-tiba ‘ghaib’ entah ke mana.

Menjadi orang yang diamanahkan untuk ‘menjaga’ surau sekolah, saya akur pengisian program kerohanian yang sebelum ini mungkin terdapat sedikit kekurangan. Beranggapan dengan melantik penceramah ‘biasa’, sudah memadai sebagai slot wajib di hujung minggu. Namun hasilnya sambutan agak kurang memberangsangkan. Tidak pelik, bukankah sekolah itu sebagai pusat pentarbiyahan pelajar. Menerima situasi untuk diteliti, mentaliti pelajar harus dikaji.

“Kata orang, kalau dah degil kepala batu, memang degil. Kalau dah tak mahu dengar cakap, memang sia-sia je nasihat kat depa”

Itu kata orang, kita masih belum mendengar lagi kata si mak cik bedah, mak jah, mak cik karipap, pak cik karim kedai runcit dan sebagainya. Secara jelas, perubahan seseorang itu adalah bergantung kepada diri sendiri. Soal penerimaan itu tiada siapa yang mampu menjangkakannya.

Di sekolah kita sudah disaji dengan subjek pendidikan Islam. Di rumah, kita pula dijamu dengan subjek ‘khas’ yang dibentuk keluarga. Situasi yang tidak berubah. Setiap hari berdepan dengan lakaran yang sama, seolah tiada apa yang membezakannya.

Apakah ‘sajian’ yang baik itu dapat memberi satu jaminan yang kekal sempurna?

Jawapan saya? Tidak.

Membaca al-Quran 24 jam, berzikir tanpa mengira waktu, lulusan pengajian agama, apakah hukuman baginya jika dia tidak mampu bergelar seorang ‘muslim sejati’?

Hakikatnya, manusia mampu menerima, tetapi agak sukar untuk memberi. Hanya mampu mendengar, mencatat, menghafal, namun sukar untuk diaplikasi. Biarkan diri dalam keadaan menerima, biarkan diri sendiri menadah tangan. Tetapi perlulah seiring dengan usaha.

Jelas, perubahan memang sukar untuk dijangka.

SEPINTAS LALU

Apabila menjejakkan kaki di tangga masjid, jelas kelihatan seorang pemuda duduk termenung jauh. Kepalanya disaluti dengan kain serban. Saya kenal sangat dengan pemuda itu. Tua setahun kalau tidak silap. Tetapi kalau diimbas kembali, sebut namanya sahaja orang sudah kenal. Seorang yang suka bergaduh di sekolah hatta di luar sekolah. Dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Perangai tidak ubah seperti budak samseng. Tetapi kini dia sudah berubah. Sekurang-kurangnya dia sedar.

Secara realitinya, berkelakuan baik di sekolah menengah, belum tentu baik di IPT. ‘Nakal’ di sekolah menengah, belum tentu ‘nakal’ di IPT. Bukan satu jaminan. Tetapi bagi pelajar lulusan agama mereka akan menjadi cermin di mata masyarakat. Apa yang dipantulkan itulah akan menjadi ikutan mereka. Pantulan akan mengikut rentak tanpa sedikit berubah. Baik pantulannya, maka baiklah imejnya.

“AMALKAN DAN SAMPAIKAN”

Seusai waktu solat jumaat tempoh hari, tiba-tiba hujan turun agak lebat. Jemaah masjid mengambil peluang untuk bertanya khabar sesama sendiri. Ada yang berborak, tidur dan sebagainya. Di suatu penjuru terlihat tok imam sudah berbaring. Jenuh menunggu hujan berhenti agaknya. Tiba-tiba saya disapa bilal masjid.

“Budak sombong merajuk ke? ”

“Eh tak adalah”

“Merajuk ni….” Bilal mengusik sambil duduk di sebelah saya.

Bibirnya mula menyusun bicara. Bicara mengenai kepayahan dan keperitan menimba ilmu suatu ketika dahulu. Membanding-bandingkan antara zaman dahulu dan kini. Ternyata terdapat jurang perbezaan yang besar. Namun ilmunya tetap sama, cuma method yang agak berlainan. Katanya, ilmu ini perlu dipraktikkan, perlu diamalkan dan perlu disampaikan. Kalau tak, kita pasti lupa.

Saya sendiri akui, kita tahu membaca al-Quran, tahu menyebut makhraj al-Quran. Tetapi apabila diminta untuk menamakan hukum tajwid, tergaru-garu kepala mencari istilah. Sedangkan belajar dalam bidang yang sama. Itu kelemahan diri sendiri.

Saya pernah terbaca satu keluhan rakan di wall post facebook, mereka menyelar sikap sesetengah individu yang lagaknya seperti orang yang tahu agama. Sibuk berkongsi artikel-artikel agama seperti soal penjagaan aurat, halal dan haram, hukum itu hukum ini dan sebagainya. Mereka mempunyai pandangan yang berbeza. Namun keluhan itu mendapat respon balas yang sebaliknya.

Setidaknya-tidaknya, dari kita membaca status cintan, bersayang sana bersayang sini, ada eloknya status nasihat itu ‘muncul’. Setidak-tidaknya ada orang yang masih memperingatkan kita tentang sesuatu perkara yang baik. Itu mujur.

Ali bin Abi Talib pernah berkata:

“Lihatlah apa yang dikatakan, dan jangan kau melihat siapa yang mengatakan.”

Saya masih ingat lagi pada ketika itu saya berada di tingkatan dua. Sedang kami bersiap-siap nak turun ke padang, ternampak kelibat ‘budak tabligh’ menuju bilik ke bilik. Saya dan rakan-rakan bergegas menutup pintu dan menganggap seolah tiada apa yang berlaku.

Mereka memberi salam, dan kami hanya membiarkan pintu itu tertutup rapat. Semua diam seribu bahasa. Sukar untuk menerima nasihat. Ustaz sering menasihatkan kami apakah janji kami ketika ditemuduga dahulu untuk memasuki sekolah tersebut. Ayat yang sama, dan berulang diguna pakai. Antum bertuah, antum pilihan Allah.

Namun, lihatlah betapa dangkalnya pemikiran kami pada ketika itu.

SECAWAN KOPI VS SEGELAS SUAM


Segelas air suam dituang ke sebuah cawan berisi air kopi tidak mampu untuk menghilangkan air yang kehitaman itu. Walaupun kedua-dua gelas tersebut mempunyai isipadu air yang sama, ia masih tidak mampu menjernihkan keadaan air tersebut. Namun demikian, dengan bantuan beberapa gelas air suam ia mampu menjernihkan air yang kehitaman itu. Anggaplah segelas ‘air suam’ itu sebagai satu nasihat. Satu nasihat yang mampu membentuk, walau sedikit.

.

Bagi daun keladi pula, walaupun scara saintifiknya air yang dicurahkan ke daun keladi itu tidak mampu melekat. Namun ia masih berupaya untuk menakung air, walau sedikit. Takungan air tersebut akhirnya mampu menyirami tumbuhan yang berada di bawah termasuk la pokok keladi tersebut. Kedua-duanya mendapat ‘manfaat’ yang sama. Daun hanya mampu ‘menyambut’, tetapi akarnya  menadah untuk menerima.

 

Sumber Imej : Google Images.

Leave a Comment

CommentLuv badge