Kerana Suatu Alasan

“Dik, tadi ayah terserempak dengan bilal”

“Ayah jumpa kat mana?”

“Masa beli barang tadi. Dia kirim salam. Dia tanya mana menghilang”

Hampir 2 minggu saya tidak menjejakkan kaki ke masjid. Hampir 2 minggu itu jugalah dihabiskan sisa-sisa bersolat bersendirian, adakalanya berjemaah di rumah rakan. Mungkin itu boleh dibilang dengan jari. Ah, itu sebenarnya satu alasan! Manusia yang sukar lari dari menyatakan alasan. Alasan yang kononnya mampu menjadi penutup suatu bicara.

Itu cerita si Tok Bilal.

“Lama tak nampak, nanti subuh jumaat bawa surah sajadah. Imam ni budak ni ha…” Kata si Abah.

“Haaa… kau anak muda,anak muda,anak muda” kata Imam sambil tersenyum sinis.

Kata kita, perli itu menyakitkan. Ya, seperti seolah menyindir. Namun, kata orang disebalik sindiran itu ada baiknya.

HIDUP PENUH DENGAN ALASAN

“Antum tak payah mimpi ingat al-Quran 30 juzuk, kalau antum tak berubah dari sekarang”

Sedikit tazkirah diberikan oleh pensyarah. Nampak macam suatu benda yang lucu. Namun, amanah yang diterima cukup besar untuk dibawa.

“Kalau antum dah keluar nanti, macam mana antum nak jaga al-Quran? Kalau antum dah kahwin, dah bekerja bagaimana dengan al-Quran antum?”

“Syeikh, al-Quran tak datang pada orang yang pandai, tapi dia datang pada orang yang rajin. Satu lagi syeikh, al-Quran bukan cari kita, tetapi kita sendiri  yang cari al-Quran”

Saya memerhatikan mereka. Bagaimana mereka menjaga al-Quran mereka.

Sehari mengulang 1 juzuk,2,3,4 ataupun 5? Fuh mantap!

Kalau mengulang sehari 5 juzuk, seminggu 30 juzuk. Sebulan 4 kali khatam. Subhanallah. Orang-orang yang terpilih. Bagaimana untuk menjadi sebahagian yang terpilih itu?

Jawapannya :

“Syeikh, al-Quran tak datang pada orang yang pandai, tapi dia datang pada orang yang rajin. Satu lagi syeikh, al-Quran bukan cari kita, tetapi kita sendiri  yang cari al-Quran”

Kata-kata itu saya ingat, dan ingat sentiasa. Mereka berjalan ke sana ke mari sambil mulut terkumat kamit. Mereka menjadi seorang pencuri. Pencuri masa.

Memegang al-Quran kecil, sambil mengulang dan terus mengulang.

Saya masih ingat lagi satu peristiwa. Ketika itu saya sedang berada dalam sebuah bas ekspress. Menuju ke sebuah destinasi. Sambil mendengar MP3, saya didatangi seorang wanita bertudung labuh sambil terkial-kial mencari nombor tempat duduk. Dia duduk di sebelah saya.

Saya tertidur kemudian tersedar.

Saya melihat dia sedang menghafal bait-bait matan Imam As-Syatibi.

“Eh budak tahfiz kot budak ni” Saya bermonolog sendirian.

Selang beberapa minit, dia mengeluarkan kitab al-Quran. Membaca dan mengulang al-Quran.

“Bagus-bagus. Hihihi” Bermonolog lagi.

Sampai ke destinasi. Dia bingkas bangun dan terus meninggalkan tempat duduknya.

ALASAN SATU PENGHALANG

“Hidup perlu ada jadual. Lepas ni buat apa, lepas tu buat apa” Nasihat seorang ibu.

“Sebenarnya kita tidak boleh lari dari alasan” Kata si fulan.

“Tak boleh lari? Itupun dah kira mencipta suatu alasan”

Ibu bertanya kepada saya.

“Dik, nak ikut mak ke, nak ikut ayah?”

“Kalau ikut mak, kita tinggal  kat felda macam kampung. Kalau ikut ayah, dik tinggal macam orang kat KL”

Saya berlari menangis keliru. Ketika itu umur saya sudah menjangkau 11 tahun. Mak menetap di Pahang. Ayah menetap di Johor.

“Adik ikut mak. Tapi adik nak video game.”

“Okay!”

(Tapi sebenarnya mak langsung tak belikan pun)

Apabila sampai di sekolah, saya berkenalan dengan rakan-rakan. Namun ada satu peristiwa yang cukup memalukan saya pada minggu pertama persekolahan. Belajar bermain recorder. Ya, matapelajaran muzik.

Ketika itu saya benar-benar buntu. Saya langsung tak pernah bermain. Apatah lagi belajar kod-kod muzik tersebut. Saya mengambil satu recorder, dan berpura-pura bermain bersama rakan-rakan sambil diperhatikan guru muzik. Sehingga rakan-rakan sendiri pun tidak menyedari dengan peristiwa tersebut. Selepas pulang dari sekolah, saya memberitahu ibu tak mahu pergi ke sekolah. Tak mahu masuk kelas muzik.

Dengan alasan, tidak pandai bermain recorder!

Kerana dengan alasan tersebut. Saya tidak menghadiri ke sekolah.

“Jangan risaulah, subjek muzik tak ada dalam UPSR” Kata ibu.

“Tapi……”

“Dah, cuba belajar perlahan-perlahan. Esok ke sekolah, belajar dengan kawan-kawan sekolah” Motivasi dari seorang ibu.

Satu kelas kecoh dengan peristiwa tersebut. Semua mentertawakan saya. Tapi apa yang membuatkan saya gembira, mereka tidak putus-putus mengajar saya. Berlatih dan terus berlatih. Selang beberapa minggu, saya sudah mampu bermain dengan baik. Malah mampu bermain seorang diri sambil tangan lincah mencipta alunan.

Semua itu adalah kerana suatu ALASAN yang menjadi batu PENGHALANG.

KESIMPULAN


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Setiap orang mempunyai alasan tersendiri. Setiap orang juga mampu mencipta alasan tersendiri. Walaubagaimanapun, sejauh mana kita kita berada di atas muka bumi ini, selagi itulah alasan tidak boleh lari dari kehidupan kita. Ini memang ALASAN, dan sememangnya sukar bagi kita untuk tidak mencipta alasan.

Kata orang, nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Apa yang paling penting, kita mencuba.

Mencuba untuk kata TIDAK pada ALASAN.

Sumber Imej : Google

Leave a Comment

CommentLuv badge