Matlamat ; 1 Muharram 1432


Kehadiran 1 Muharram mengingatkan kita kembali tentang sejarah penghijrahan baginda Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Penghijrahan itu berlaku pada tahun 622 Masihi iaitu 1388 tahun yang lalu. Selepas baginda wafat, Saidina Umar al-Khattab r.a. telah menetapkan kalendar Islam berdasarkan penghijrahan pertama oleh Nabi Muhammad SAW. Penetapan ini bagi melaraskan kalendar Islam kerana ketika itu terlalu banyak kalendar yang digunakan antaranya kalendar Romawi, kalendar Persia, kalendar Tahun Gajah dan seumpama dengannya. Walaupun pada ketika ini, kita menggunapakai sistem kalendar Gregorian, kalendar Islam tetap menjadi rujukan bagi umat Islam.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.”

(Surah at-Taubah: 36)

Mencari Azam-azam Yang Hilang

Apabila memasuki tahun baru, ramai orang sibuk memperkatakan tentang azam. Istilah yang tidak boleh lari dan sering disebut-sebut sebagai pelengkap bagi persediaan tahun baru. Tentukan azam kita sekarang!

Sasaran Dalam Mencapai Matlamat

Pada mulanya saya agak keliru dalam menentukan sesuatu matlamat. Bagaimanakah harus dicapai, dan bagaimanakah bentuk pelan tindakan. Di sini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang pelan tindakan yang dirasakan sesuai.

1) Tentukan Matlamat

Dalam menentukan matlamat, saya telah pecahkan kepada dua bahagian iaitu agama dan kehidupan.

Agama merupakan teras kehidupan yang wajib kita ikuti baik lelaki mahupun perempuan. Katakan pada tahun baru ini, kita berazam untuk melakukan solat sunat pada 2/3 malam. Mungkin bagi sesetengah orang matlamat itu sukar untuk dilaksanakan walaupun ia nampak mudah.

Pelaksanaan :

Dari sudut pelaksanaan saya berpandukan pada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. :

“Jika engkau mampu mengerjakannya sekali setiap hari maka kerjakanlah, jika engkau tidak mampu membuatnya maka kerjakanlah sekali setiap Jumaat, jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah sekali sebulan, jika engkau tidak mampu maka kerjakanlah sekali setahun, jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah sekali seumur hidup.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Hadith tersebut adalah merujuk kepada pelaksaan solat sunat tasbih

Kunci Utama ; Pandangan Secara Kasar

Pendapat Saya : Berazam melakukan solat sunat pada 2/3 malam sekali setahun adalah lebih baik berbanding tidak melakukan ketika hayatnya.

Alasan : Biarlah kita bermulah dari bawah, biarlah kita melakukan sekecil-kecil amalan, dengan sekecil-kecil amalan itulah maka tercatatlah dalam buku amalannya.

Mungkin pada tahun ini hanya sekali, tahun hadapan pula sebulan sekali, tahun hadapannya pula seminggu sekali. Moga kita Istiqamah! Ameen..

Firman Allah SWT :

“ Dan barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung”

(Surah Al-Zalzalah ayat 7-8)

Amal sebesar zarah

Dalam renungmu
kau selak lembar hikmah
tercatat dakwat merah berdarah
mengalir sungai ke muara
dan jiwamu meraung
di dada api membakar kesal
saat tersentak sedar
gerimis hikmah berderai
mendingin bara
kerna di sana
amal sehalus zarah
akan tetap dikira.

Sumber puisi : Ummu Fatihah

Kehidupan merupakan aliran perjalanan yang perlu ditempuhi oleh semua orang. Dalam konteks kehidupan ia terbahagi kepada beberapa elemen penting antaranya hubungan dengan manusia, pendidikan, kewangan,keluarga dan seumpama dengannya.

Dalam menetapkan sesuatu matlamat, ia perlu selari dengan kemampuan kita. Jangan terlalu menaruh harapan yang terlalu tinggi sehinggakan mengalami kesukaran untuk mencapai sesuatu.

2) Buku, Diari Islam, Buku Perancang

Saya menyarankan agar kita dapat memiliki beberapa buah buku antaranya buku motivasi pembangunan diri, diari Islam dan buku perancang (book planner).

Mengapa Buku?

Saya sarankan dapatkan buku yang bertajuk Travelog Dakwah ; Meniti Hari Esok tulisan oleh Muhd Kamil Ibrahim (PTS Islamika), Sahabat ; Teman Menangis & Ketawa tulisan Theresa Ong (ALAF 21), Aku Terima Nikahnya & Bercinta Sampai ke Syurga tulisan Hasrizal Abdul Jamil (Galeri Ilmu Sdn Bhd).

Rasalah kesannya kelak. =)

Mengapa Diari Islam?

Saya mula memiliki diari Islam pada tahun 2006 sewaktu berkunjung di kedai buku. Ia cukup membuatkan saya tertarik apabila di setiap halaman diselitkan dengan beberapa petikan al-Quran dan hadith. Catatkan segala bentuk tindakan yang membolehkan kita bermuhasabah sentiasa. Saya pernah terjumpa diari Islam milik kakak saya ketika sedang mengalih barang-barang beliau. Apa yang saya lihat dalam isi kandungan adalah berbentuk teknik muhasabah.

Mengapa Buku Perancang (Book Planner) ?

Saya mula memiliki Buku Perancang apabila menyandang jawatan persatuan ketika di kampus. Ia cukup penting untuk membuat sesuatu perancangan dalam jangka masa 1 tahun. Kita juga boleh menjadikan buku perancang ini sebagai satu bentuk buku peringatan. Seperti mana aplikasi kalendar di dalam telefon bimbit yang boleh memuatkan event bagi setiap tarikh.

Kesimpulan

Penetapan matlamat bukanlah suatu bentuk tindakan yang bersifat angan-angan. Ia lebih berbentuk kepada perancangan kehidupan yang dianggap teliti dan teratur. Saya doakan agar matlamat anda dapat dicapai dengan jayanya. Salam Maal Hijrah 1431 dan Selamat Tahun Baru 2011 untuk akan datang. Salam kejayaan, salam harmoni.

Leave a Comment

CommentLuv badge