Pilihan Raya Kampus KUIS : Episod 1

Pilihan Raya Kampus antara medan yang paling ditunggu-tunggu oleh pimpinan mahasiswa. Bagi Pro Aspirasi Malaysia mahupun Pro Mahasiswa Malaysia masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Penilaian tepat harus dilakukan bermula daripada sekarang. Kewujudan politik kampus usah disangkal tentang kewibaannya sehinggakan kerajaan sendiri ingin campur tangan. Kebimbangan kian timbul masakan risau kerusi panas menjadi rebutan untuk mendapatkan 2/3 majoriti. Masakan yang masih mengingati mimpi buruk bagi Pro Aspirasi yang kehilangan terlalu banyak kerusi di UIAM.

Bagi Pro Mahasiswa itu merupakan satu kejayaan besar kerana berjaya mengurangkan kerusi Pro Aspirasi. Kehangatan pilihanraya kampus kian terasa di pelosok IPT negara. Namun bagi kampus saya sendiri yang rata-ratanya sibuk memperkatakan tarikh sebenar pilihanraya kampus di KUIS.

Saya sendiri tiada jawapan tersebut. Terlalu awal untuk menduga siapakah yang layak menggantikan kerusi Presiden. Sebenarnya anda sendiri boleh mencari jawapan tersebut. Walaupun di KUIS sendiri tidak mempunyai pakatan seperti Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa namun mahasiswa KUIS kini bijak membuat andaian dengan semangat penggerak bersama ‘kumpulan-kumpulan’ tertentu.

Tidak mahu mengulas lanjut tentang perkara ini mungkin merasakan terlalu awal untuk membuat sebarang andaian. Namun begitu, bakal calon-calon PRK KUIS daripada 7000 orang mahasiswa KUIS yang mahu merebut 18 kerusi panas harus membuat persediaan bagi memudahkan jentera kempen kalian bergerak tersusun.

Masuk Bertanding Pilihan Raya Kampus

Saya masih ingat lagi, sewaktu malam akhir Anugerah Sinar Inspirasi ramai pimpinan mahasiswa berhimpun. Kami berbincang siapakah yang rasanya bakal masuk bertanding pilihan raya. Pada ketika itu, saya tidak berhasrat untuk bertanding kerana suka bekerja di sebalik tabir sebagai jawatankuasa kecil di bawah pimpinan rakan-rakan yang lain.

Namun demikian, apabila ada sebahagian rakan-rakan senior menyatakan sokongan penuh, saya mula berubah fikiran. Tatkala ruang pencalonan masih terbuka ada insan yang sudi menawarkan diri untuk membantu saya menguatkan lagi jentera kempen tanpa meminta apa-apa balasan. Rakan siswa dan siswi menghulurkan tangan membantu menggantung poster di bangunan kediaman pelajar, fakulti, kafeteria dan beberapa tempat strategik.

Alhamdulillah dengan bantuan mereka serta pengundi mahasiswa, saya berjaya memenangi kerusi pilihanraya kampus. Biarpun pengumuman sedikit lewat kerana kiraan undi berlanjutan sehingga malam, ia cukup melegakan. Pada malam itu juga saya terus menghubungi ibu dan ayah bagi berkongsi kegembiraan atas kemenangan kerusi ini.

Bagi mahasiswa sekalian, suka sama sekali saya sertakan yang mana prinsip Islam telah menetapkan garis panduan untuk memilih pemimpin berkebolehan dan amanah. Ini adalah renungan buat saya sebenarnya dan juga ia boleh dikongsi bersama buat tatapan kalian.

Panduan memilih pemimpin :

1) Jangan mengangkat seorang pemimpin kerana kepentingan peribadi dengan mengetepikan peluang dan hak orang lain yang lebih layak.

2) Jangan menggunakan wang ringgit dan kekayaan untuk mempengaruhi orang lain supaya mengangkat diri kita sebagai pemimpin.

3) Islam tidak pernah membenarkan individu menonjolkan dirinya kepada orang lain supaya dipilih menjadi pemimpin.

4) Amanah bukan satu keistimewaan tetapi tanggungjawab yang mesti dipikul dengan takwa. Jangan jadi pengkhianat kepada amanah diberikan.

5) Kepimpinan dipilih mestilah daripada kalangan mereka yang mantap dan berkebolehan.

Kembali kepada fitrah. Perkara asas yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin itu ialah amanah. Kenapa saya sebutkan amanah kenapa tidak sebutkan pengalaman? Hal ini berasas hatta Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Al-Quran yang membawa maksud :

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

 (8 : 27)

Inilah sedikit sisipan buat renungan kita bersama khususnya untuk diri saya sendiri.

Episod 2, bakal menyusul!

Ikhtiaruddin Md Yasim
Naib Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS

Leave a Comment

CommentLuv badge