Pilihan Raya Kampus KUIS : Episod 2

Debaran kian terasa bagi bakal calon-calon PRK KUIS. Kalau dulu timbul persoalan bilakah tarikh sebenar PRK KUIS bakal tiba? Usah risau persoalan itu bakal terjawab dengan adanya tarikh yang sebenar. 14 Januari 2009 bakal menyaksikan pemilihan calon-calon bagi mengisi kerusi-kerusi panas MPM bagi sesi 08/09. Bagi MPM 07/08 pula, mungkin ada di antara mahasiswa sibuk memperkatakan bilakah pembubaran yang bakal berlaku. Saya ada juga menerima respon positif dan negatif. Ada yang menganggap pembubaran MPM kali ini pasti diakhiri dengan tangisan dan ada dengan kegembiraan.

Perbezaan situasi yang berlaku dipihak mahasiswa sendiri bijak membuat penilaian. Walaupun desas desus mengatakan pembubaran MPM 07/08 akan berlaku pada 17 Disember 2008, bagi saya bilakah tarikh sebenar bukanlah satu persoalan yang penting. Surat hitam putih masih belum diterima oleh pihak MPM lagi. Bagi Pengerusi Sekretariat Pilihanraya Kampus masih ternanti-nanti bilakah tarikh yang sesuai bagi sesi pencalonan kerusi Umum dan Fakulti diadakan. Tidak lupa juga sesi manifesto yang ditunggu-tunggu bagi bakal calon membuktikan dan menaburkan janji-janji mungkin.

Usahlah ditabur janji dengan material semata-mata. Saya berkata sedemikian tidak hairanlah hatta di IPTA sendiri perjuangan kebajikan yang bersifatkan material agak sukar untuk diperjuangkan. Dengan pemerintahan selama setahun sebenarnya tidak cukup bagi membentuk satu pakatan mahasiswa. Kita perlu sedar plihanraya kampus tidak boleh disamakan dengan sistem pilihanraya umum.

Lagipun ia adalah mainan politik dan bentuk pemerintahan bagi penggal adalah memakan masa hampir 5 tahun. Usah diperkatakan, usah dipersamakan. Pokoknya siapa yang berhak dan layak memegang tampuk pimpinan MPM 08/09 perlu dicongak walaupun tiada siapa dapat menduga kini. Mahasiswa KUIS pasti ada jawapannya.

Artikel yang lepas saya ada sertakan 5 prinsip dalam Islam bagi memilih pemimpin Islam. Peranan bukanlah terletak semata-mata terhadap calon, namun bagi mahasiswa sendiri yang mempunyai kuasa mengundi, mempunyai kuasa demokrasi harus memainkan peranan penting. Ingatlah, tanpa anda mahasiswa saya sendiri belum tentu dapat memegang tampuk pimpinan MPM KUIS.

Pada dasarnya pengundian sering diletakkan sebagai satu elemen yang paling penting. Corak jentera kempen turut mempamerkan usaha mahasiswa dalam mencari pengundi. Mungkin ada di antara mahasiswa membuat andaian awal dengan kuatnya corak kempen pilihanraya maka peluang besar untuk menang kerusi amat cerah.

Saya berani katakan andaian itu silap sama sekali. Hebat mana pun corak jentera anda, kemenangan tidak boleh diletakkan seratus peratus kepada kempen semata-mata. Usahlah menipu mahasiswa dengan fizikal luaran sahaja. Mahasiswa KUIS kini bijak mencongak, bijak memilih siapakah yang dirasakan layak. Jika benar orang itu paling berpengaruh di KUIS, saya berani katakan kempen pilihnraya dengan berbekalkan 100 poster sudah memadai. Saya ambil contoh sebagai Presiden MPM 07/08 sendiri.

Beliau amat berpengaruh di KUIS kerana apa? Sebelum ini beliau sendiri sudah bergelar seorang Setiausaha Kehormat MPM 06/07. Jadi dengan corak jentera kempen pilihanraya beliau tidaklah bersandarkan semata-mata kepada kempen sahaja. Sukar untuk melihatkan poster-poster beliau terpampang bersama calon-calon yang lain. Bukan untuk mengatakan beliau seorang yang riak dengan sifat berpengaruhnya. Itu adalah satu andaian yang silap. Tetapi apa yang ingin saya sampaikan, mahasiswa KUIS kini bijak mengatur strategi dengan ‘orang-orangnya’ tersendiri.

Namun mahasiswa perlu ingat, jangan sesekali melabelkan kempen pilihanraya KUIS sebagai satu perkara yang remeh. Ia merupakan satu titik tolak sebagai permulaan demi matlamat memperjuangkan kebajikan mahasiswa. Mahaiswa sekalian, pastikan calon anda sudah bersedia dengan PRK KUIS kali ini. Mahasiswa sekali lagi, harus diingat tugas anda adalah meletakkan siapakah yang benar-benar layak merebut kerusi panas MPM 08/09. Episod 1 sudah berlalu, Episod 2 bakal berlabuh. Episod 3? Nantikan kemunculannya.

Ikhtiaruddin Md Yasim
Naib Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS

Leave a Comment

CommentLuv badge