Pilihan Raya Kampus KUIS : Episod 3

Barisan Majlis Perwakilan Mahasiswa bagi sesi ini sudah pun dibubarkan. Namun kami masih lagi menjalankan tugas berbaki memandangkan terdapat tugas yang harus diselesaikan. Saya juga belum berkesempatan mengemas barang-barang peribadi di pejabat MPM. Sedih rasanya mahu meninggalkan bilik yang banyak tersimpan seribu memori.

Oh ya, beberapa minggu yang lalu, Tuan Presiden MPM ada menerima jemputan untuk menyampaikan talk kepada ahli PBSM KUIS di dewan Fakulti Pengurusan Muamalah. Namun beliau meminta saya menggantikannya atas faktor urusan yang lain. Saya hadir menggantikan beliau. Biarpun tajuk yang diberikan adalah tentang Adam & Hawa, saya turut menyentuh tentang isu pilihan raya yang bakal diadakan. Tiada niat lain, sekadar mahu mahasiswa cakna.

Notis Pilihanraya Kampus sudahpun dikeluarkan oleh pihak Sekretariat PRK KUIS. Namun ada dua persoalan yang kini timbul. Jika dahulu pihak berkenaan menetapkan hanya mahasiswa semester 2,3 dan 4 sahaja bagi pelajar diploma dan ijazah. Namun kini berlaku perubahan iaitu membuka ruang kepada semua mahasiswa kecuali mahasiswa semester 1 dan pelajar Asasi sahaja. Bukan untuk kita menghalang ataupun menyekat mana-mana pihak daripada bertanding. Namun situasi memaksa saya berfikir apakah tujuan pihak berkenaan berbuat demikian.

Bagi kerusi Umum pula, pihak sekretariat hanya memperuntukan 6 kerusi sahaja berbanding tahun-tahun yang lalu iaitu sebanyak 7 hingga 8 kerusi. Tidak pasti mengapa ia dihadkan.

Namun pastinya, kerusi Umum adalah kerusi yang paling dinantikan siapakah calonnya.

Memilih barisan kepimpinan dalam Majlis Tertinggi bukanlah suatu perkara yang mudah. Biarpun menggunakan sistem syura, untuk membahaskan calon presiden pun, hampir memakan masa dekat 2 jam. Bukan mahu membuka pekung, tetapi saya masih ingat lagi bagaimana kami berbahas di antara satu sama lain bagi memastikan orang yang kami ‘usulkan’ mendapat majoriti 2/3 dalam sidang.

Setiap kali berbahas itulah, tepukan meja menjadi isyarat sokongan.

Ada banyak yang ingin saya kongsikan, tetapi biarlah ia menjadi rahsia di antara kami.

Ikhtiaruddin Md Yasim
Mantan Naib Presiden 1
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS

Leave a Comment

CommentLuv badge