Selamat Hari Lahir Buat Ibu Tersayang

“Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku ketika aku kecil dan rahmatilah mereka serta tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mulia di sisiMu”

Mungkin kerana saya seorang lelaki agak sukar mengekspresikan diri dengan kata-kata sayang mahupun ucapan merdu buat ibu. Saya percaya, bukan saya seorang tetapi ramai. Namun kata orang…

“Kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna untuk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Tapi kata-kata bukan bukti unggulnya perasaan”

KEHIDUPAN SEORANG KANAK-KANAK

Saat kanak-kanak lain bergembira bersama keluarga, ketika itu ibu sudah bergelar seorang yatim piatu. Hidup bersama abang, tinggal bersama abang, makan minum bersama abangnya. Kehidupan yang sangat sukar pada ketika itu.

Di sekolah, ibu mempunyai seorang rakan yang sering berkongsi makanan bersamanya ketika waktu rehat. Bukan sekali sekala, bukan kadang-kadang, namun ia berlanjutan setiap hari.

Kesusahan yang menimpa, tidak menghilangkan rasa semangat untuk belajar. Alhamdulillah, ibu beruntung kerana pada ketika itu, beliau berkesempatan bersama rakan-rakan berkesempatan bersama-sama belajar tuisyen secara percuma di sebuah rumah milik seorang profesor kalau tidak silap saya. Mata pelajaran yang diminati adalah Bahasa Inggeris dan Matematik.

Makanya, ibulah menjadi mangsa anak-anaknya untuk membantu menyiapkan kerja sekolah sehinggalah kepada kerja kursus universiti (assignment).

MENINGKAT DEWASA

Selepas menduduki SPM, ibu bekerja sebagai guru sementara. Selepas itu beliau menyambung pengajian di sebuah kolej kejururawatan dalam program diploma in nursing.

Berkecimpung dalam bidang kejururawatan ada perkara yang membuatkan saya sedikit kelakar.

Ibu cukup pantang apabila ada orang merokok di hadapannya. Tidak kiralah mereka saudara ataupun tidak, teguran tetap diberikan. Teguran yang agak sedikit pedas.

Baru sahaja 2 minggu lepas, ada beberapa orang merokok di hadapan ibu, kata ibu..

“Maaflah kalau saya cakap, kalau cik abang-abang ni merokok, saya bangun pergi tempat lain. Tak takut ke dengan asap masuk kat paru-paru? ”. Teguran  ibu dengan ekspresi muka tersenyum.

ANAK-ANAK SEBAGAI HARAPAN


Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun membeikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

Nowseeheart

2 thoughts on “Selamat Hari Lahir Buat Ibu Tersayang”

Leave a Comment

CommentLuv badge