Skuter Itu Menjadi Saksi

Seperti kebiasaannya seawal jam 5.30 pagi sudah kedengaran deruman enjin motor abah bersiap untuk ke masjid. Bunyi deruman enjin setiap pagi itulah seperti menjadi satu kemestian. Ibarat ayam jantan berkokok menandakan hari semakin siang. Namun bunyi itu hilang sejak semalam. Skuter tunggangannya pula tidak kelihatan. Saya menjengah ke suatu sudut. Menarik jendela terhendap-hendap kalau-kalau terlihat kelibatnya. Namun yang pasti, ia tidak akan kelihatan buat seketika ini.

Skuternya mungkin tidak akan kelihatan berhari-hari, bukan hilang, tetapi untuk diperbaiki.

KETENTUAN ILAHI

Ketika itu jam menunjukkan 1 petang. Saya bergegas ke bilik untuk mandi bersiap solat zuhur. Tiba-tiba saya terdengar satu bunyi dentuman kuat. Saya berlari ke pintu hadapan rumah dan melihat seorang lelaki tua terbaring di sebelah motorsikalnya.

Saya terdengar anak-anaknya menjerit memanggil nama.

“Abahhhhhhh!!!!”

“Ya Allah, abang, abah kena langgar lori !!” Saya menjerit berlari keluar. Orang ramai mula berkerumun. Tangan, kaki, pehanya berdarah.

“Abah, abah ok tak ni”

Abah dipapah masuk ke dalam rumah.

“La…kenapa bawa masuk, cepat hantar ke hospital”. Saya berteriak.

“Ya-ya nak ambil kereta ni”. Sepupu saya menjawab.

Pemandu lori berbangsa cina berkali-kali memohon maaf. Ternyata pemandu tersebut cuba mengelak, namun kejadian tersebut tetap berlaku.

“Pak cik, saya minta maaf. Kami tak sengaja”. Kata pemandu lori tersebut.

“Eh tak mengapa. Dah takdir nak jadi macam ni” Jawabnya dalam keadaan seperti separuh sedar. Seakan terkejut dengan apa yang berlaku.

MASIH LAGI DIUJI

“Mak Long, abah macam mana?” Saya bertanya.

“Alhamdulillah, ada dalam bilik tengah baring”

Saya menghela nafas lega. Dilanggar sebuah lori besar menjadi satu memori yang tidak akan saya lupakan. Dengan kudrat yang tidak seberapa, dengan usianya lebih 70 tahun, dia masih mampu menuju ke masjid setiap waktu.

Skuter yang digunapakai itulah menjadi saksi…

“Subhanallah”…

Abah merupakan Pak Long saya

Allah datangkan ujian buat dirinya… Moga abah cepat sembuh dengan izinNya. Ameen…

Leave a Comment

CommentLuv badge